Sunday, February 20, 2011

Ada Apa dengan Islam?

Ada Apa dengan Islam?

20 tahun dahulu, sebaik sahaja saya dilahirkan, abah terus mengazankan dan mengiqamahkan di telinga saya.

Saya terus dibesarkan dalam didikan penuh dengan nilai keagamaan.

Namun, hal itu rupa-rupanya membuatkan saya sering menilai kehidupan beragama ini dari sudut tanggungjawab semata-mata.

Setiap hari kena solat 5 waktu. Berbuih mulut mak bertanya, "dah sembahyang ke belum?"

Bulan puasa, letih mak kejut bangun sahur dan macam-macam lagi nostalgia 'liat dan culas' semasa kanak-kanak.

Mengimbau lebih 1400 tahun yang lalu, terkenang kepada perjuangan baginda Rasulullah s.a.w. yang tiada putus ujian dan dugaan yang diberikan kepada baginda.

Hairannya, Allah s.w.t. secara jelas memaklumkan tentang kasih-Nya kepada baginda, namun, kekasih-Nya itu dibiarkan hidup penuh ranjau dan duri.

Diancam bunuh, dibaling dengan batu, kelaparan, hidup dalam bilik yang kecil, berdepan dengan pedang musyrikin... semua itu adalah rencam kehidupan seorang kekasih Tuhan!

Dalam kehidupan yang nyawanya seperti telur di hujung tanduk, seorang sahabat baginda pernah
menyarankan supaya baginda mendoakan keburukan untuk orang musyrikin. Namun, apa jawab baginda?

"Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk melaknat (orang lain). Aku hanya diutuskan sebagai rahmat" (Riwayat Muslim).

Allah akbar!

Bilakah kali terakhir kita tidak mencerca rakan muslimin kita? Bilakah kali terakhir kita tidak menghina bos kita? Bilakah kali terakhir kita tidak mengutuk ahli keluarga kita?

Oh! Sudah tentu masih boleh diingati, kerana baru je sekejap tadi kita mengata mereka!

Astaghfirullah al-'azim...

Rasulullah s.a.w. diuji dengan ujian yang jauh lebih berat dari kita, namun baginda sama sekali tidak mahu mendoakan sesuatu yang buruk kepada mereka.

Malah baginda tetap mengharapkan agar hidayah Allah s.w.t. akan dilimpahkan kepada mereka.

Islam adalah agama rahmat. Agama yang penuh kasih sayang.

Agama yang mengajak kepada keharmonian. Agama yang penuh tolak ansur.

Agama yang mementingkan pembentukan maslahat dalam syariat.

Islam bukan hanya semata-mata solat dan puasa. Islam lebih dari itu. Islam ialah syariat yang terindah.


InsyaAllah..

No comments: